Kebergantungan Manusia
Pada tahun 2018 dulu, saya pernah menjadi Executive Manager untuk program World Mental Health Week 2018 di kampus dulu. Kami menjemput satu organisasi NGO terkenal untuk sebagai penceramah program How to be a Good Listener. Maaf saya dah tak ingat siapa nama betul speakernya. Tetapi beliau ialah seorang warga Malaysia berketurunan India dan beragama Kristian.
Setelah berakhirnya slot, saya perlu menemani penceramah untuk kudapan malam berserta dengan Program Manager talk tersebut. Sebenarnya, skil Public Relation saya tidaklah mantap mana. Cuak juga sebab saya biasa jadi orang bawahan sahaja dalam program anjuran persatuan psikologi saya sebelum ini.
Ada suatu persoalan yang sering berlegar-legar dalam kepala saya. Apa penyelesaian jangka panjang untuk isu gangguan mental yang semakin berleluasa ini? Memandangkan ada beberapa orang di sekeliling saya yang juga mempunyai isu ini, saya jadi terbeban dengan persoalan ini. Saya ingin membantu, tapi yang ditemui asyik jalan rapuh dan buntu. Hanya penyelesaian jangka pendek.
Entah bagaimana perbualan itu berlangsung sehingga saya berpeluang untuk bertanyakan satu soalan kepadanya yang lebih kurang berbunyi begini. (Soalan asal adalah dalam bahasa Inggeris):
“Mr. X, sebenarnya apa solusi ‘solid’ untuk membantu golongan yang ada masalah gangguan mental ini? Kalau kita nak mencadangkan kepada pesakit untuk terus bergantung kepada pihak luar atau orang lain untuk menyokongnya, sokongan luaran itu tak akan ada selamanya. Tidak solid. Sistem boleh runtuh. Pemberi sokongan boleh tersalah cakap. Malah, boleh jadi, sokongan yang diberikan tidak konsisten sebab pemberi sokongan (support provider) pun seorang manusia yang mempunyai limitasi.”
Beliau menjawab (jawapan di bawah ialah yang saya olah kembali tetapi masih mengekalkan elemen utama jawapannya agar kalian mudah faham konteksnya):
“Solusi paling solid sebenarnya ialah agama (religion). Tetapi kita tak boleh terus nak beritahu pesakit : ‘Have faith’. Awak kena faham. Namanya pun orang sakit. Maka, kita kena memahami bahawa keadaan emosi dan mentalnya tidak stabil lagi. Bagaimana kita nak menyuruhnya berfikir dengan rasional, sedangkan emosinya yang berkecamuk sedang memudarkan ketajamannya dalam berfikir? (In other words, his/ her capability of rational thinking is currently being clouded by his/her raging emotions). Jadi, kita kena bantu dia untuk menenangkan emosinya dahulu. Kemudian, barulah dia berkemampuan untuk berfikir dengan waras.”
Argumen dan penerangan beliau membuatkan saya termenung dan berfikir panjang.
Photo by Marcelo Moreira from Pexels |
Cuma ada satu perkara yang saya ingin katakan:
Jawapan beliau bahawa solusi paling padu untuk bantu/ sokong golongan yang ada isu gangguan mental itu adalah melalui agama, sememangnya membuatkan saya terdiam. Beliau dan saya berbeza agama; Beliau Kristian, saya Islam.
Betapa saya menggagau/ teraba-raba mencari solusi untuk masalah ini. Rupa-rupanya mungkin sebahagian penyelesaiannya ada dalam agama saya sendiri? Sejak itu, saya memang nekad untuk benar-benar mencari jawapan realistik: bagaimana agama saya, Islam dapat membantu golongan yang menghadapi gangguan mental, emosi & jiwa, terutamanya dalam kalangan Muslim sendiri? (Untuk yang tidak tahu, psikologi sebenarnya merangkumi semua aspek di atas; mental, emosi, jiwa dan termasuklah kelakuan fizikal).
Adakah saya yang buta dan jahil kerana tidak tahu tentang solusi yang ada dalam agama saya sendiri? Adakah penyelesaian yang terdapat dalam agama tidak diwar-warkan dalam bahasa yang lebih mudah untuk masyarakat faham dengan jelas? Adakah saya ini tidak yakin dengan solusi yang dihidangkan dalam agama sendiri? Begitulah persoalan bertali-arus daripada aliran fikiran saya.
Allah Maha Pemurah. Betapa Allah Pemilik Jiwa Manusia telah berkenan mengajarkan saya melalui cebisan pengalaman di sini dan sana. Saya pernah merasai tekanan emosi sehingga terasa ngilu di dada. Memang sakit seperti ditekan-tekan. Kepala serabut dan sesak. Air mata mengalir tanpa sebab jelas. Rasa berseorangan. Saya pernah merasai diselubungi rasa lemah, bukan kerana gangguan alam fizikal. Rasa-rasa aneh yang hanya dapat diyakini oleh orang yang pernah mengalami jua. Tetapi alhamdulillah Allah izinkan saya rasa hanya sedikit daripada kemungkinan kesakitan yang lebih pedih. Cukuplah hanya cebisan kecil rasa dan pengalaman yang Allah bagi untuk hadirkan rasa empati dalam jiwa saya.
Simpulan-simpulan gelap pernah saya lalui dalam hidup yang tak berapa lama ini. Alhamdulillah, ada yang sudah lega terlerai, ada yang masih dalam proses. Tetapi pengajarannya mungkin dapat saya kongsikan di blog ini akan datang, sedikit demi sedikit. Hakikatnya kita tidak pernah berseorangan dalam merasa kesusahan dan kepayahan. Entah berapa bilion orang yang pernah hidup dan mati, dengan kesusahan yang lebih kurang sama dengan kita. Sejak Nabi Adam.
Ya, anda rasa sakit dan susah sekali. Perasaan itu memang benar dan ternyata wujud. Tetapi sudah ada ramai orang yang melepasi kepayahan itu dengan jayanya dan tidak kurang yang sengsara. Jalan mana yang kita hendak contohi? Itu yang kita harus pelajari. Hari demi hari.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Disclaimer:
Apa yang saya akan kongsikan dalam posts akan datang ialah paduan ilmu dan pengalaman yang ada dalam diri saya yang berusia dalam lingkungan 20-an. Mungkin ada pembaca merasakan saya terlalu muda atau terlalu tua ataupun sebaya sahaja. Tidak kisahlah tentang umur itu. Terpulang kepada anda untuk meyakini apa yang saya tuliskan.
Saya hanya:
Anak cucu daripada keluarga yang moden berpendidikan dan orang kampung yang pernah kesusahan,
Bekas pelajar sekolah rendah swasta integrasi Islam di pantai barat
Bekas pelajar sekolah kebangsaan di pantai timur
Bekas pelajar sekolah menengah kebangsaan agama di Terengganu,
Bekas penuntut program persijilan tahfiz di suatu negeri di hujung Selangor,
Graduan jurusan psikologi di universiti tempatan yang mengambil 7 subjek sahaja daripada pengajian al-Quran dan Sunnah
Penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris yang baik
Penguasaan bahasa Arab sederhana
Saya tiada Master atau PHD,
Namun, kuat berfikir, membaca dan minat belajar sejak kecil.
Minat ceramah agama, khususnya berkenaan tadabbur al-Quran daripada Ustaz Nouman Ali Khan dan Tadabbur Centre. Sesekali, Ustaz Omar Suleiman dan Ustazah Yasmin Mogahed.
Minat podcasts Aida Azlin, Aiman Azlan, Ustaz Mizi Wahid.
Aktif dengan persatuan psikologi di alam ijazah. Sesekali, saya sertai program lain untuk meluaskan bulatan kawan-kawan saya dalam kerja kebajikan dan hal agama.
Ada beberapa kenalan antarabangsa yang di kampus sama yang saya banyak belajar melalui perbezaan dan persamaan antara kami.
Anda boleh nilai sendiri sejauh mana anda mahu meyakini idea dan penulisan saya. Terserah saja. Namun, jika ada tersalah fakta agama dan psikologi dll, dipersilakan tegur, tiada masalah. Saya sememangnya masih belajar.
Maaf jika saya seperti membebel. Hahah sememangnya idea saya lebih bebas mengalir saat tiada pihak yang menetapkan “Kamu harus tulis ini by tarikh ini, harus tajuk ini dsb”. Itulah sebabnya blog ini wujud. Kalau tak, saya dah fokus tulis manuskrip sendiri dah haha. Harap kalian masih enjoy dan dapat manfaat walaupun penulisan saya ini macam free-flow dah ni. Anggaplah saya ini seorang kawan yang sedang bercerita; seorang penglipur lara yang kuat berfikir.
Semoga ketemu lagi dalam post seterusnya.
9 Jun 2020
3.09 AM
Pantai Timur.
*Disclaimer 2: Jika anda memang dah didiagnos dengan isu gangguan mental (mental health issues), sila patuhi nasihat golongan profesional terutama pakar psikiatri dan psikolgis anda. Yang itu, masih perlu diikuti sebagai bahagian daripada ikhtiar untuk pulih dan sihat insyaAllah.
Comments
Post a Comment