Relevankah lagi Cita-cita di Musim Pandemik?

Cita-cita dan Pekerjaan

Jika diimbau kembali, ketika kita masih di bangku sekolah, cikgu pasti akan mengajukan soalan wajib:
"Apa cita-cita kamu?" Baru-baru ini, adik saya yang berumur 11 tahun bertanyakan saya soalan yang sama. 

"Entah la dik, akak pun tak tahu," jawabku.

"Mana boleh tak tahu. Apaaa lah akak ni. Cikgu kata semua orang kena ada cita-cita," bebelnya panjang lebar. 

"Adik nak jadi chef!" sambungnya lagi. Saya cuma tersenyum. 

Ketika di sekolah rendah, kita diajar secara tidak langsung bahawa cita-cita ialah pekerjaan. Pekerjaan ialah cita- cita."CITA-CITA = PEKERJAAN". Contoh cita-cita yang selalu diutarakan ialah doktor, polis, bomba, cikgu dan sebagainya. 

Konsep tersebut tidak salah, memandangkan kapasiti pemikiran abstrak dan berfikiran secara kritis masih terhad pada usia tersebut. Apabila kita semakin matang dan dewasa, pemahaman kita tentang cita-cita semakin luas.Cita- cita tidak semestinya dalam bentuk pekerjaan. Boleh jadi cita-cita merupakan satu matlamat jangka panjang atau matlamat akhir hidup kita. Matlamat hidup boleh jadi pelbagai mengikut keinginan dan prioriti hidup masing-masing:

Wang? Ilmu? Menduduki posisi tertinggi dalam organisasi? Berkhidmat untuk perjuangan khusus yang diyakini? Mendapat keredhaan orang tua? Kepuasan diri? Keselesaan berada di zon selesa (comfort zone)?

Bukan itu sahaja, malah manusia menempuh pelbagai jalan untuk mencapai cita-cita masing. 

Ayuh kita perhatikan beberapa contoh situasi di bawah:
  • Ada orang bekerja dengan syarikat besar dengan gaji yang lumayan untuk menyara keluarga dan membina laluan kerjaya yang mantap. 
  • Ada orang berkorban menerima kerja yang bayarannya kurang lumayan demi menjaga orang tua yang semakin uzur. 
  • Ada orang menyambung pelajaran tinggi, namun dituruti dengan pengorbanan perhatian terhadap keluarga. 
  • Ada orang rela bekerja di posisi jawatan statik yang sama selama berpuluh-puluh tahun sehingga bersara kerana selesa dengan kerja sedia ada. 
  • Ada orang berkerja sendiri membina perniagaan sendiri kerana berasa mendapat kepuasan diri dengan cara sebegitu. 
  • Ada orang bekerja sebagai penjawat awam sehingga akhir tempoh perkhidmatannya dan menerima pencen.
  • Ada orang bersara awal daripada bekerja sebagai penjawat awam dan kemudian memulakan perniagaan secara sendiri dan bebas.

Lazimnya pada usia 20-an,  anak muda berada dalam fasa memulakan langkah menuju cita-cita mereka. Sebagai anak muda yang masih teraba-raba melakar cita-citanya, saya sendiri boleh terdiam apabila ada orang bertanya:

"Apa yang awak mahu dalam hidup ini?"


Abstrak vs Konkrit

Sebagai seorang Muslim, jawapan yang paling baik tentunya adalah untuk mencapai keredhaan Allah. Namun, konsep ini abstrak dan terlalu umum. Cita-cita yang abstrak sebegitu perlu disusuli dengan suatu bentuk 'action plan' yang realistik dan konkrit. 

Beginilah. Sebenarnya saya ada cita-cita yang telah saya rangka beberapa tahun lalu. Namun disebabkan pandemik ini dan beberapa faktor lain, jalan yang saya lakarkan itu kelihatan tidak lagi realistik dengan keadaan semasa. Bohonglah kalau saya katakan saya tidak kecewa dengan perubahan mendadak yang berlaku. Kertas yang saya lakarkan cita-cita saya di atasnya telah pun saya renyukkan dan gumpalkan. Tetapi saya masih menyimpan gumpalan kertas itu kerana sayang. Mana tahu cita-cita itu dapat dilaksanakan pada 10, 20 tahun akan datang pula?

Atasi Kekecewaan dengan 'Self-Compassion'?

Kekecewaan dan rasa 'devastation' dengan keadaan semasa membuatkan saya menyoal:
"Relevankah lagi cita-cita di musim pandemik ini?"

Ini merupakan zaman hampir semua insan bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup (survival of life). Jadi, kita harus realistik dengan kemampuan dan keterbatasan yang ada. 

Saya teringat kepada satu konsep dalam Psikologi Positif iaitu 'Self-Compassion'. 
Secara umum, kita boleh memahami 'Self-Compassion' sebagai usaha untuk berempati dengan diri sendiri, mengakui kesukaran yang dihadapi dan berinteraksi dengan diri sendiri dengan kebaikan (kindness) seperti mana kita melayan seorang kawan yang sedang melalui saat-saat sukar dalam hidupnya. 

Sebagai orang yang selalu mempunyai matlamat yang jelas yang ingin dicapai dalam hidup, saya mengalami kesukaran untuk berdamai dengan ketidak pastian. Pandemik ini telah mengaburkan banyak jalan dan mencetuskan pelbagai bentuk keresahan dek naik turunnya yang tidak menentu. 

Seiring dengan berlalunya waktu, akhirnya saya berkata kepada diri: 

"Tidak adil kalau kamu memaksa dan menghukum dirimu sendiri kerana gagal bergerak dengan lebih pantas ke arah cita-cita kamu. Kamu tidak berlaku adil kepada diri jika terus menekan diri dalam keresahan dan rasa putus asa, sedangkan sekarang ini satu dunia juga dalam keresahan yang besar. Kelambatan atau kegagalan kamu untuk merealisasikan cita-cita kamu dapat dijustifikasi (is justified). 

Bukan itu sahaja, mungkin cita-cita kamu itu tidak mustahil, cuma tertangguh buat sementara. Kalau pun cita-cita kamu terkubur buat selamanya, pasti Allah akan melorongkan kamu ke jalan yang lebih baik menurut pengetahuan Allah al-'Alim."

Apa yang saya boleh lakukan sekarang adalah untuk hidup dengan penuh syukur dan qana'ah (merasa cukup dengan apa yang ada). Di samping berusaha untuk membina kehidupan sendiri perlahan-lahan, saya juga melatih diri untuk menepuk bahu sendiri atas kejayaan-kejayaan kecil yang ada setiap hari. 

"Tahniah sebab awak dah buat ini dan ini. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit."

Tips ringkas untuk mengatasi rasa tidak berguna dan tidak produktif:
  1. Cuba catat  beberapa perkara yang kita berjaya selesaikan atau perkara baru yang kita belajar setiap hari dengan ringkas. 
  2. Andai suatu hari nanti, rasa "Aku tidak berguna" datang menghantui, belek kembali kalendar atau diari ringkas itu. 
  3. Kemudian, katakan kembali kepada suara kurang enak tadi: "Hei tengok lah, ini bukti yang banyak perkara yang kamu dah buat dan belajar selama ini. Usah perkecilkan dirimu sendiri sesuka hati tanpa bukti."
Konklusi

Tidak mengapa kalau kita terpaksa menangguhkan atau menukar cita-cita buat masa sekarang. Anda tidak keseorangan dalam hal itu. Nyawa dan kesihatan perlu diutamakan buat masa sekarang. Kalau kita kehilangan syarat untuk hidup iaitu nyawa, masihkah ada kepentingan keinginan-keinginan hidup yang lain.

Lagipun, cita-cita tak semestinya satu sahaja kan? Mari kita terus berharap. 
Selagi matahari masih timbul di timur dan tenggelam di barat, kita harus tetap berusaha dalam kemampuan kita. 

Yakinilah, kesusahan hari ini tidak sia-sia. 

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Untuk pembaca Muslim, boleh cuba belek Surah Yusuf ayat ke-87. Ayat tersebut merakamkan pesanan  Nabi Ya'qub kepada anak-anaknya untuk terus mencari saudara mereka, Nabi Yusuf dan Bunyamin dan supaya mereka tidak berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. 

Semoga kita diberikan kekuatan untuk mengharungi ombak pandemik ini sehingga titik penamat.

Comments

Popular posts from this blog

Book Review 1: Abu Zayd Al-Balkhi's Sustenance of the Soul (Malik Badri)

Book Review 2 : Kamus Para Pecinta (Nizar Qabbani)

Kaedah Saya Hafaz Surah Al-Quran ketika Kecil