Kaedah Saya Hafaz Surah Al-Quran ketika Kecil
Ketika saya masih di bangku sekolah rendah, ibu dan ayah menghantar saya ke sebuah sekolah integrasi agama swasta di sebuah bandar metropolitan. Dari situlah bermulanya langkah awal saya berjinak-jinak menghafaz al-Quran. Sejak Darjah 1, setiap murid akan mengambil subjek Hafazan. Kami bermula dengan surah-surah lazim iaitu surah an-Nas, al-Falaq, al-Ikhlas sehingga habis juzuk 30. Ada sesetengah pelajar (kebanyakannya lelaki) kapasitinya lebih laju; mereka mampu hafaz surah-surah amalan harian yang agak panjang seperti surah al-Mulk. Ketika saya menamatkan darjah 4 di sekolah itu, alhamdulillah saya berjaya hafaz surah an-Nas sehingga surah al-Fajr. Walaupun sudah berpindah sekolah, saya teruskan menghafaz baki surah-surah lain dalam juzuk 30 kecuali an-Naba’ secara kendiri sebelum masuk sekolah menengah. Saya bukanlah pelajar paling laju dalam kelas dulu bila bab hafazan😅 tapi saya bersyukur dengan kapasiti diri yang Allah izinkan ketika itu. Tidak terfikir pun untu...