Kaedah Saya Hafaz Surah Al-Quran ketika Kecil
Ketika saya masih di bangku sekolah rendah, ibu dan ayah menghantar saya ke sebuah sekolah integrasi agama swasta di sebuah bandar metropolitan.
Dari situlah bermulanya langkah awal saya berjinak-jinak menghafaz al-Quran. Sejak Darjah 1, setiap murid akan mengambil subjek Hafazan. Kami bermula dengan surah-surah lazim iaitu surah an-Nas, al-Falaq, al-Ikhlas sehingga habis juzuk 30. Ada sesetengah pelajar (kebanyakannya lelaki) kapasitinya lebih laju; mereka mampu hafaz surah-surah amalan harian yang agak panjang seperti surah al-Mulk.
Ketika saya menamatkan darjah 4 di sekolah itu, alhamdulillah saya berjaya hafaz surah an-Nas sehingga surah al-Fajr. Walaupun sudah berpindah sekolah, saya teruskan menghafaz baki surah-surah lain dalam juzuk 30 kecuali an-Naba’ secara kendiri sebelum masuk sekolah menengah.
Saya bukanlah pelajar paling laju dalam kelas dulu bila bab hafazan😅 tapi saya bersyukur dengan kapasiti diri yang Allah izinkan ketika itu. Tidak terfikir pun untuk membanding-bandingkan pencapaian diri dengan pencapaian rakan-rakan lain yang lebih laju.
Alhamdulillah kaedah yang digunakan di sekolah itu sangat membantu perjalanan saya. Izinkan saya merumuskan kaedah hafazan yang saya gunakan dahulu kepada 3 poin utama:
Visualisasi
Saya masih ingat ustaz hafazan saya dahulu; Ustaz Hasrizal kalau tak silap. (Bukan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil itu haha).
Tegas orangnya. Beliau akan berpesan kepada para pelajar ketika dalam kelas hafazan:
“Ustaz nak kamu hafal sampai nampak ayat al-Quran kat dahi ustaz ni,” ujar beliau sambil menudingkan jarinya ke dahi sendiri.
Saya sebagai pelajar yang naif (mungkin darjah 1 atau 2 ketika itu) bermonolog sendiri:
“Macam mana nak nampak ayat al-Quran kat dahi ustaz yang licin tu? Hmm..”
Hahaha, bila dah dewasa dan dah belajar psikologi, baru faham tujuan ustaz berkata begitu. Ustaz mahu kami membayangkan ayat-ayat al-Quran dengan jelas dengan minda ketika menghafaz atau bahasa ‘jargon’nya: VISUALISASI.
Menghafaz Ayat individu
Kaedah utama yang digunakan di sekolah tersebut ialah kaedah hafazan Darul Huffaz. Darul Huffaz ialah sebuah syarikat yang diasaskan oleh Tuan Mohd. Syafie bin Md Amin, seorang akauntan yang mula menghafaz ketika sudah agak dewasa. Kami memang menggunakan buku hafazan mereka yang berjilid-jilid banyaknya.
Kalau saya boleh ringkaskan sahaja:
Baca ayat 1 dengan melihat kepada mashaf al-Quran selama 5 kali.
Kemudian, ulang ayat yang sama sambil tidak melihat mashaf sebanyak 5 kali juga.
Ulang langkah 1 & 2, sehingga: Lihat (30x) dan Tidak Lihat (30x).
Jadi jumlah keseluruhan ulangan untuk ayat 1 ialah sebanyak 60 kali.
Kaedah ini memang akan mengambil masa yang agak lama. Namun, sangat berbaloi. Kebanyakan surah yang saya hafaz guna kaedah ini dahulu, memang kekal utuh sehingga sekarang. Kualiti lebih utama daripada kuantiti (Sayangnya, saya tak guna kaedah ini ketika di Darul Quran kerana mengejar masa pengajian iaitu 18 bulan sahaja).
C) Menghubungkan Ayat 1 dengan Ayat 2 dan seterusnya
Antara perkara yang perlu dititikberatkan ketika ingin menghafaz al-Quran ialah jalinan/hubungan antara ayat dengan ayat yang lain.
Kalau kita tidak “mengikat” ayat 1 dengan ayat 2, ayat 2 dengan ayat 3 (dan seterusnya..), agak sukar untuk membaca sesuatu surah atau muka surat dengan lancar.
Jadi, anggaplah ayat-ayat al-Quran ini seperti mata-mata rantai yang perlu dijalin dengan kemas antara satu sama lain. Macam rantai basikal yang besi itu, kan utuh terhubung antara mata-matanya.
Jadi, contohnya:
Selepas selesai hafaz ayat 1 dan 2 secara individu, peruntukkan masa untuk ‘mengikat’ 2 ayat itu bersama-sama.
Hafaz ayat 1 (ulangan 60x; 30x lihat, 30x tutup)
Hafaz ayat 2 (ulangan 60x; 30x lihat, 30x tutup)
Ulang ayat 1 dengan ayat 2 secara berturutan selama 10 kali; 5 kali secara melihat mashaf dan 5 kali dengan tidak melihat mashaf.
Jadi, ulangan untuk mengikat ayat-ayat individu ialah sebanyak 10 kali.
Jika contohnya dah hafaz ayat 1 sehingga ayat 10, maka ulang ayat 1-10 secara berturutan sebanyak 10x.
Rumusan Kaedah:
Tengok mushaf dan bayangkan ayat dalam minda dengan jelas (visualise it in your mind).
Ulang setiap ayat individu 60x; 30x lihat + 30x tutup mata/mashaf.
Ikat ayat-ayat individu dengan ulangan sebanyak 10x.
Begitulah cara terbaik yang berkesan untuk saya ketika menghafaz sewaktu kecil dahulu. Sebenarnya kaedah ini tidak terhad kepada mana-mana usia. Semua orang boleh amalkan.
Cuma orang kata:
“Consistency is the key.”
Selamat mencuba!
Comments
Post a Comment