Book Review 4: Kitab Kebijaksanaan Orang-Orang Gila
Tajuk: Kitab Kebijaksanaan Orang-Orang Gila
Tajuk Asal: ‘Uqala al-Majanin (عقلاء المجانين)
Penulis: Abu al-Qasim al-Naisaburi | Penterjemah: Zainul Maarif
Bil. Muka surat: 447 | Tarikh Diterbitkan: 2017
Harga Dibeli: RM75.60 (Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018)
Sejujurnya, buku ini memang mahal. Tetapi sebab itulah kali pertama saya nampak buku itu seumur hidup di PBAKL 2018, jadi saya terus sambar dan bayar. Agak logik kenapa tak pernah nampak buku itu sebab usianya baru 1 tahun ketika itu dan diterbitkan di Indonesia.
Kedai Buku: Wali Pustaka, Indonesia (Menurut informasi dalam buku)
Cara Beli/Pautan:
Kalau ada yang berminat hendak beli, saya cadang untuk cari di Shopee. Ada beberapa seller Indonesia yang jual dengan harga agak murah, tetapi saya tidak berani nak cadangkan yang mana satu kerana saya jarang beli barang via Shopee dari Indonesia.
Saya ada jumpa satu sahaja penjual tempatan yang masih ada stok dengan harga RM60.00. Boleh lihat sini: Kitab Kebijaksanaan Orang-orang Gila (Lokal)
Versi bahasa Arab PDF: Uqala al-Majanin
Bab:
Bab 1: Kebijaksanaan Orang-orang Gila
Bab 2: Orang-orang Gila daripada Suku Badui
Bab 3: Perempuan-perempuan Gila
Bab 4: Orang-orang Gila yang Tidak Dikenal
Bab 5: Orang-orang yang Gila kerana Suatu Alasan
Bab 6: Mereka yang Berpura-pura Gila
Bab 7: Rasulullah yang Dianggap Gila
Bab 8: Kegilaan dalam Budaya Arab
Ulasan:
Mengintai Fenomena Kegilaan pada Abad ke-11 Masihi
Memandangkan saya berlatar belakangkan bidang psikologi, hal-hal ‘kegilaan’ memang menarik minat saya. Apatah lagi, buku ini ditulis pada zaman yang berbeza dengan sekarang. Buku ini ditulis oleh Abu al-Qasim al-Naisaburi yang meninggal dunia pada tahun 406 Hijrah atau 1016 Masihi.
“Bagaimanakah kegilaan dilihat pada zaman itu (abad ke-11)?”
Persoalan yang timbul di fikiran saya ketika melihat tajuk buku ini ialah:
“Adakah orang gila benar-benar gila (hilang kewarasan akal)? Atau sebahagian mereka dianggap gila hanya kerana cara mereka sedikit berbeza dengan norma masyarakat setempat?”
Bijak ke Orang ‘Gila’?
Buku ini secara keseluruhannya ialah himpunan kisah pendek yang benar sekitar interaksi dengan ‘orang gila’ pada masa itu. Menariknya buku ini, kebanyakan kisah diletakkan di bawah nama individu khusus. Ada juga kisah berkaitan ‘orang gila’ yang tidak bernama.
Tajuk buku ini sahaja (Kebijaksanaan Orang-orang Gila) sudah padat dengan kontra: “Bagaimana orang gila boleh dikatakan sebagai bijak?” Pening bukan? Rupanya, bila saya baca buku ini, saya menemukan banyak sekali kata-kata hikmah yang ditulis daripada mulut mereka ini; daripada yang manis mendayu-mendayu, hatta yang tajam menyindir.
Antara contohnya:
Hawa nafsu memberitahu rahasia yang tersimpan
Menampakkan cinta yang tidak dimaksudkan
Kepada selain-Nya.
(Syair oleh Usijah)
Apabila pemimpin dan sekretarisnya berkhianat,
Apabila hakim di dunia menipu,
Maka celaka dan sungguh celaka,
Kerana dunia akan dihakimi oleh hakim akhirat.
(Syair oleh Buhlul)
Menurut sebahagian kisah, ‘kegilaan’ boleh terhasil daripada kecintaan yang terlalu tinggi (‘asyik) terhadap sesuatu atau seseorang. Mungkin seperti cinta Qais kepada Laila?
Namun, kebanyakan kisah adalah berkaitan dengan kecintaan yang tinggi hamba Allah kepada Pencipta-Nya sehingga dilihat sebagai ‘tidak normal’ oleh masyarakat sekelilingnya. Banyak kata-kata atau lebih tepat, syair yang berkaitan dengan kecintaan kepada Allah. Bahkan, diceritakan juga bahawa orang-orang soleh, alim malah penguasa pada zaman ini, meminta nasihat daripada ‘orang-orang gila’ ini. Mungkin kerana mereka berani (atau blunt) untuk menyatakan kebenaran tanpa perlu bimbang dengan kesannya.
Selain itu, ada juga kisah tentang orang alim yang berpura-pura gila kerana ingin menolak jawatan keagamaan dalam pemerintahan. Macam-macam ragam boleh dibaca.
Daripada Kaca Mata Graduan Psikologi
Kalau daripada perspektif psikologi pula, saya tertarik kepada beberapa kisah yang bercerita tentang kegilaan yang sementara. Sebagai contoh, ada yang ‘gila’ hanya pada waktu siang dan kembali waras ketika malam menjelma. Selain itu, ada juga cerita tentang orang yang ‘gila’ selama beberapa bulan dan waras selama beberapa bulan. Hal ini sepertinya ada sedikit persamaan dengan isu kesihatan mental yang ada pada zaman kini; fenomena ‘relapse of mental illness’ atau mungkin perubahan mood yang mendadak untuk beberapa tempoh masa seperti dalam bipolar disorder. Wallahualam.
Istilah-istilah ‘Gila’ dalam Arab
Pada bab akhir buku ini (Bab 7), penulisnya menulis dengan panjang lebar tentang pelbagai istilah Arab yang digunakan untuk merujuk kepada ‘gila’. Malah, setiap perkataan itu datang dengan pengkhususan sifat yang berbeza-beza. Pening juga saya membacanya haha, kerana terlalu spesifik. Namun, insyaAllah berguna untuk dikaji pada masa akan datang.
Rating Keseluruhan: 5/5
Baca Semula? : Ya tetapi lebih kepada rujukan
Disarankan kepada: Orang yang minat kata-kata mendalam (puitis: yang manis dan tajam).
Cuma pesan saya, untuk baca buku ini, memerlukan penghayatan dan konsentrasi supaya boleh faham mesej yang cuba disampaikan. Mungkin 20% daripada buku ini agak sukar untuk dibayangkan kerana kisah terlalu pendek, jadi susah untuk faham konteks kisah.
Selamat membaca!
Keep it up Auni! Baru kenal buku ni.
ReplyDelete