Book Review 3: Sains Menulis Puisi




Tajuk: Sains Menulis Puisi

Penulis: Fahd Razy 

Penerbit: Penerbitan Kata Pilar

Bil. Muka surat: 191

Harga: RM 25.00

Tarikh Diterbitkan: November 2018

Kedai Buku: Popular Bookstore

Bab:

Bab 1: Sains Menulis Puisi | Bab 2: Hal2 Yang Tak Pernah Selesai | Bab 3: Membina Asas Puisi | 

Bab 4: Terlajak Perahu | Bab 5: Bertukang Puisi | Bab 6: Pasca Puisi

Asal Usul : Bagaimana boleh terbeli?

Bismillah. Saya pernah ternampak buku ini beberapa kali di kedai buku. Namun, tidak terpanggil untuk beli kerana niche penulisan saya bukanlah puisi, walaupun saya pernah cuba-cuba semasa tahun 2015 dulu di Darul Quran. Jika dibaca kembali apa yang saya ingatkan 'puisi itu', saya hanya mampu ketawakan sahaja. Karangan ayat pendek itu lebih layak digelar seloka. Tetap menghiburkan walaupun tidak puitis. 

Alhamdulillah saya terpilih sebagai 30 peserta untuk Minggu Penulis Remaja (MPR) 2020 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Rupanya penyampai untuk slot puisi MPR 2020 ialah Dr Fahd Razy, penulis buku ini. Dr Fahd Razy menggunakan buku ini sebagai rujukan dalam slot tersebut.

Jadi, bagi sesiapa yang mempunyai aspirasi untuk mengarang puisi yang baik dan sedap dibaca, buku ini ialah panduan yang amat bagus untuk pemula. Sememangnya puisi merupakan suatu medium untuk menyampaikan rasa kepada pembaca. Namun, ada beberapa kriteria puisi yang baik yang lazimnya dinilai oleh pengkritik puisi. Selain itu, Dr Fahd juga mendedahkan beberapa teknik praktikal untuk menjadikan puisi kita lebih 'sedap' dibaca dan berkualiti.

Latar Belakang Penulis: (boleh dibaca di bahagian belakang buku)

Bahagian Kegemaran dalam Buku:

Bab yang paling saya sukai ialah Bab 4 iaitu Reboot Kefahaman tentang Puisi. Dalam bab ini, Dr Fahd mengetengahkan beberapa perkara yang menurunkan kualiti puisi. Antaranya termasuklah citra bercampur, puisi tidak logik, kecelaruan kata ganti nama diri, lewah, penggunaan penanda wacana dan banyak lagi. 

Penulis juga banyak menyertakan contoh puisi kurang yang baik seiring dengan puisi yang baik sebagai perbandingan terus. Hal ini memudahkan pembaca untuk memahami isu yang dimaksudkan. Pada masa yang sama, pembaca juga dapat mengenal pasti pemuisi lagenda dalam kalangan sasterawan negara dan pemuisi baru yang tidak kurang hebat daripada keratan-keratan puisi yang disertakan. Maka, pembaca dapat mencari bahan bacaan puisi tambahan yang lebih banyak bertitik tolak daripada itu. 

Pesan penulis: 

"Membaca banyak puisi membantu menajamkan deria puisi (poetic sense) seseorang pengarang. Pengarang lebih peka kepada langgam, variasi, teknik, estetika, serta kekuatan sesebuah puisi yang dibaca atau dikarangnya." (Fahd Razy, 2018, p. 37). 

Gaya Penulisan dan Penyampaian Buku

Saya amat suka dengan gaya penulisan Dr Fahd yang tajam, padat dan tepat kepada isu yang disasarkan. Seperti mana tajuknya iaitu Sains Menulis Puisi, reka bentuk buku ini juga bertemakan istilah sains dan dicantikkan dengan ilustrasi saintis yang menghiburkan. Walaupun buku ini dwiwarna sahaja (biru dan hitam), reka bentuknya cukup mesra-pembaca. Elemen tulisan, ilustrasi, jadual dan elemen-elemen lain terasa seimbang serta menggamit perhatian pembaca untuk membaca dari kulit ke kulit. 

Ini buku pertama yang saya beli daripada Penerbitan Kata Pilar dan saya dah mulai tertarik untuk menambah koleksi Kata-Pilar! Kandungan padat, ilustrasi menghiburkan, susun atur menarik. Apa lagi yang kurang?

Ekstra: Penghantaran Puisi ke FB Tukang Puisi

Jika anda berminat untuk menguji kualiti puisi anda, boleh cuba kunjungi halaman Facebook Tukang Puisi di pautan berikut: https://www.facebook.com/tukangpuisiMY . Tukang Puisi mengalu-alukan penghantaran karya puisi. Dr Fahd juga seorang daripada penilai puisi di Tukang Puisi. Untuk maklumat lanjut, tekan pautan di bawah: https://www.facebook.com/tukangpuisiMY/posts/518375381926182

Selamat mencuba. 

Rating Keseluruhan: 5/5

Baca Semula? : Ya

Disarankan kepada: Pengarang puisi pemula dan peminat puisi bahasa Melayu

Selamat Membaca!

Comments

Popular posts from this blog

Book Review 1: Abu Zayd Al-Balkhi's Sustenance of the Soul (Malik Badri)

Book Review 2 : Kamus Para Pecinta (Nizar Qabbani)

Kaedah Saya Hafaz Surah Al-Quran ketika Kecil